Monday, February 9, 2009

Tengku Adnan - "Idea bernas untuk rapatkan silatur rahim"


Putrajaya, 8 Februari 2009 - Pertandingan Futsal Tertutup Putrajaya 2009 bagi merebut Piala Y.B. Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang berlangsung pada hari ini telah berakhir dengan penuh kemeriahan dan semangat kesukanan.

Dianggarkan jumlah kehadiran pemain dan penonton adalah sekitar 700 orang dan dilaporkan bahawa tiada sebarang insiden pergaduhan di sepanjang tempoh pertandingan. Setiap perlawanan berlangsung dengan licin tanpa banyak pertikaian daripada sebarang pasukan.

Sebanyak 56 pasukan mengambil bahagian dalam pertandingan yang dijalankan secara kumpulan dalam pusingan pertama seterusnya secara kalah mati dalam pusingan kedua. Pertandingan ini telah bermula seawal 9 pagi dan dirasmikan oleh Ahli Parlimen Putrajaya, Y.B. Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Dalam ucapan beliau, Datuk Seri Tengku Adnan menyebut bahawa idea untuk menganjurkan program ini adalah amat baik, lebih-lebih lagi bagi merapatkan silatur rahim dalam kalangan golongan muda di dalam kejiranan Putrajaya. Dalam ucapan beliau, beliau turut mengulas kemelut politik di negeri Perak dan krisis-krisis politik yang berlaku di seluruh dunia, termasuk konflik Israel dan Palestin.

Saudara Iqbal telah menyampaikan ucapan alu-aluan bagi pihak Kelab Futsal Putrajaya dan Kumpulan Yayasan, mewakili saudara Tun Faisal Ismail yang berada di Pensiangan, Sabah. Dalam ucapan beliau, saudara Iqbal menyebut bahawa selepas ini akan ada lebih banyak program dilaksanakan, termasuk futsal bagi golongan wanita, pelajar sekolah dan golongan veteran.

Pengarah projek ini, Saudara Zaid menyatakan bahawa antara faktor kenapa pertandingan kali ini berlangsung dengan lebih lancar dan licin adalah kerana perancangan mengenainya telah dibuat lebih awal, iaitu lebih sebulan setengah sebelum tarikh pertandingan.

Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Bahagian UMNO Putrajaya, Datuk Khairuddin Samad. Pertandingan ini telah dijuarai oleh pasukan 400 'A' dan naib johan adalah pasukan Mineral Water. Tempat ketiga disandang oleh pasukan Kasturi 'A', manakala tempat keempat adalah pasukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Johan bagi pertandingan ini telah menerima Piala Pusingan Y.B. Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, medal dan hadiah wang tunai sebanyak RM 1,000. Bagi naib johan, tempat ketiga dan keempat, setiap pasukan menerima medal dan wang tunai sebanyak RM 700 bagi naib johan, RM 500 bagi tempat ketiga dan RM 300 bagi tempat keempat.

Wednesday, February 4, 2009

Penubuhan Kelab Futsal Putrajaya


Kelab Futsal Putrajaya telah dicadangkan penubuhannya pada bulan Oktober 2008 oleh Saudara Rusmizi Majid dan rakan-rakan dari presint 9. Ahli-ahli penaja yang mencadangkan penubuhan kelab ini kemudiannya telah mencadangkan agar ia diletakkan di bawah Kumpulan Yayasan agar lebih banyak aktiviti dapat diselaraskan dan dilaksanakan dengan lebih teratur. Program pertama yang dianjurkan oleh Kelab Futsal Putrajaya adalah Pertandingan Futsal Tertutup Piala Y.B. Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan dijadualkan akan dilaksanakan pada 8 Februari 2009 di Gelanggang Futsal Kelab Komuniti Cyberjaya. Bermula pada pukul 9 pagi dan tamat pada 10 malam, acara penyampaian piala pusingan pertandingan ini dijangka akan disempurnakan oleh Ahli Parlimen Putrajaya, Y.B. Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.